Sahabat

ANAS BIN MALIK AL-ANSHORI

Ya Allah kurniakanlah kepadanya

Harta dan anak.Berkatilah dia.

(doa rasulullah saw)


Anas bin Malik diajar mengucap dua kalimah syahadah oleh ibunya Ghumaisho’ ketika masih usia kanak-kanak.Sanubarinya dipenuhkan ibunya dengan rasa cinta terhadap Nabi Muhammad saw.

Anak ini amat bercita-cita untuk menjejaki Nabi di Mekah.Tidak berapa lama, Yathrib kota yang bertuah dan beruntung dikejutkan dengan berita gembira.Berita bahawa Nabi saw dan sahabatnya Abu Bakar as-Siddiq dalam perjalanan menuju Yathrib.

Pada suatu pagi yang berembun segar dan suasana yang tenang berseri , terdengar orang berlaung: “Muhammad dan sahabatnya telah hampir sampai dengan Yathrib”

Orang ramai segera bergegas menuju jalan yang akan dilalui oleh Nabi pembawa hidayat dan kebaikan…

Mereka berlumba-lumba untuk sampai , kelompok demi kelompok.Golongan kanak-kanak turut menyelit dan mencelah gerombolan tersebut.Jelas tampak di wajah mereka raut kegirangan yang memenuhi perasaan keanakan mereka.

Rasulullah saw dan sahabatnya Abu Bakar sampai.Unta yang dinaiki berjalan di celah-celah orang ramai yang bersesak-sesak.

Wanita dan anak-anak kecil yang berada di rumah,naik ke tingkat atas . Mereka tertinjau-tinjau dari jauh kearah Rasulullah saw. Mereka bertanya-tanya : “Yang mana satu dia…yang mana satu dia…”

Itulah hari yang tidak dapat dilupakan.Hinggakan kenangan itu masih terus dalam ingatan Anas walaupun umurnya telah menjangkau lebih 100 tahun.

Tidak berapa lama Rasulullah saw berada di Madinah , Ghumaisho’ binti Milan , ibu Anas datang bertemu Baginda.Beliau turut membawa bersama anaknya, Anas yang masih kecil tersebut.Anas berlari-lari dihadapannya.Rambutnya terjurai di dahinya.

Setibanya di hadapan Nabi saw, beliau memberi salam .

“Wahai Rasulullah…semua lelaki dan wanita anshor telah memberi hadiah kepada tuan.Namun saya tiada apa-apa yang boleh saya hadiahkan selain anak saya ini. Ambillah dia.Dia akan berkhidmat untuk tuan mengikut apa sahaja yang tuan mahu..” kata ibu Anas kepada Nabi saw.

Rasulullah saw amat gembira dan menyambut anak tersebut dengan tersenyum manis.Baginda mengusap-usap kepala Anas.Nabi saw menyentuh anak rambut Anas dengan hujung jarinya.Lalu, baginda menjadikannya sebahagian anggota keluarganya.

Anas bin Malik atau Unais (panggilan manjanya ketika kanak-kanak) baru berumur 10 tahun ketika beliau bertuah mula berkhidmat dengan Nabi saw. Beliau hidup bersama dan di bawah jagaan Nabi sehingga Baginda saw bertemu menghadap Allah Taala.

Oleh itu jangka masa beliau bersama Baginda genap 10 tahun.Ketika itulah tegukan pertama hidayah yang berjaya membersihkan dirinya.Anas peka dengan hadith Nabi saw dan ia memenuhi dadanya.Beliau mengetahui keadaan, kisah , rahsia dan sifat mulia Baginda yang tidak diketahui oleh orang lain.

Anas bin Malik dilayan baik oleh Nabi saw hinggakan anak pun tidak dapat merasai layanan sebegitu daripada bapanya Beliau dapat mengecapi kecantikan sifat mulia dan keagungan keperibadian baginda saw yang didambakan dunia.

Ayuh kita biarkan Anas menceritakan beberapa gambaran menarik tentang layanan Nabi saw yang beliau rasai.Kerana beliau lebih mengetahui akan gambarannya dengan lebih kuat.

Kata Anas bin Malik :

Rasulullah saw merupakan manusia yang paling berakhlak mulia, amat berlapang dada dan terlalu penyayang.

Suatu hari baginda meminta saya pergi menyelesaikan satu urusan.Lalu saya pun keluar.Sedangkan ketika itu saya pergi bermain dengan rakan sebaya saya di pasar. Maka saya tidak pergi ke tempat yang Rasulullah maksudkan. Sesampainya saya ke tempat rakan-rakan saya, saya rasa ada orang berdiri di belakang saya dan dia memegang baju saya… Saya pun berpaling, saya lihat Rasulullah saw tersenyum seraya berkata : “Wahai Unais, adakah kamu telah pergi ke tempat saya suruh tadi?”

Saya rasa bersalah dan saya berkata : “Baiklah, saya akan pergi sekarang juga wahai Rasulullah”

Demi Allah! Saya telah berkhidmat dengan Nabi saw selama 10 tahun.Tidak pernah sekalipun Rasulullah berkata : “Mengapa kamu buat begitu…” jika saya melakukan sesuatu.Apabila saya tidak melakukan sesuatu perkara, Baginda juga tidak pernah berkata : “ Mengapa kamu tidak melakukannya…”

Apabila Rasulullah saw memanggil Anas, beliau akan memanggil panggilan manja iaitu Unais.Ada kala Baginda memanggil “ Wahai anakku ”

Terlalu banyak nasihat dan peringatan Rasulullah saw kepada beliau.

Lantaran itu, Nabi SAW pernah berpesan kepada beliau: “ Wahai Anakku, jika kamu mampu pada waktu pagi dan petang tidak berdendam dengan sesiapa, lakukanlah.Wahai anakku, itu merupakan sunnahku.Sesiapa yang menghidupkan sunnahku sesungguhnya dia mencintaiku.Sesiapa yang mencintaiku sesungguhnya dia akan bersamaku di syurga.Wahai anakku, jika kamu pulang bertemu keluargamu,berikanlah salam kepada mereka.Kerana ia akan membawa keberkatan kepadamu juga keluargamu.

Selepas kewafatan Nabi saw, Anas bin Malik hidup lebih 80 tahun.Sepanjang usia tersebut beliau mengisi dada-dada sahabat dan tabien dengan ilmu yang diperolehinya daripada Rasululllah saw yang agung. Beliau memenuhhkan fikiran mereka dengan fiqh nubuwwah.

Beliau menghidupkan perasaan sahabat dan tabien dengan petunjuk Nabi saw, juga dengan sabda dan keperibadian agung Rasulullah saw yang disebarkannya kepada orang ramai.

Sepanjang umur Anas yang lama itu, beliau menjadi rujukan masyarakat Islam. Mereka segera bertemu Anas jika mereka buntu tentang sesuatu masalah. Mereka juga berpegang dengan pandangan beliau jika mereka tidak mampu memahami sesuatu hukum.

Ada sesetengah orang yang suka berdebat tentang perkara agama, mereka membincangkan tentang adakah kolam Nabi saw pada hari kiamat benar-benar wujud.Lalu mereka pergi bertanya kepada Anas dan Anas menjawab : “ Saya tidak sangka saya hidup sehingga saya bertemu orang seperti kamu semuayang berdebat tentang kolam tersebut.Saya telah tinggalkan di belakang saya, wanita-wanita yang lanjut usia.Siapa saja di kalangan mereka bersembahyang , dia pasti akan memohon agar dikurniakan untuk meneguk air kolam Nabi saw.”

Anas bin Malik sentiasa menunjuk sikap bersungguh-sungguh untuk mengikuti perbuatan dan kata-kata Rasulullah saw. Cinta apa yang dicintainya. Benci apa yang dibencinya.

Kenangan yang paling sering diingatinya ialah hari pertama beliau bertemu Rasulullah saw dan hari kewafatan Baginda saw.

Apabila beliau mengingati hari pertama, beliau merasa amat bahagia.Namun apabila teringat tentang hari kedua,beliau menangis dan orang sekelilingnya juga turut manangis.

Beliau sering mengulang kata-kata : “Sesungguhnya saya telah melihat wajah Nabi saw ketika hari Baginda masuk ke Madinah.Saya juga melihat baginda ketika hari beliau diambil daripada kami.(wafat). Pada saya tiada hari yang setanding dengan dua hari tersebut.Pada hari baginda masuk ke Madinah, seluruh Madinah bersinar.Manakala tatkala pada hari baginda pergi menghadap Ilahi, gelap seluruh Madinah.”

Kali terakhir saya melihat Baginda adalah pada hari Isnin ketika tirai bilik baginda dibuka.Saya lihat wajah baginda seperti helaian ketas mushaf. Ketika itu orang ramai berdiri di belakang Abu Bakar sambil mereka melihat baginda saw. Mereka hampir-hampir tidak tentu arah melihat keadaan baginda saw.Namun Abu Bakar mengisyaratkan agar mereka bertenang.Pada lewat hari tersebut Rasulullah saw wafat.Kami tidak pernah melihat pemandangan yang lebih pelik pada kami berbanding wajah baginda saw ketika kami menimbuskan pasir ke atas baginda.


Sesungguhnya Rasulullah saw beberapa kali mendoakan Anas. Antara doa baginda : “Ya Allah kurniakanlah kepadanya harta dan anak .Berkatilah dia”
Allah taala memakbulkan doa Nabi-nya.Anas merupakan orang Anshor yang paling kaya dan paling ramai zuriat.Bilangan anak dan cucunya melebihi seratus orang. Allah taala juga memberkati umurnya sehingga beliau hidup selama 103 tahun.

Anas amat berharap memperolehi syafaat Nabi saw pada hari kiamat kelak. Beliau sering berkata : “ Sesungguhnya saya berharap dapat bertemu Rasulullah saw pada hari kiamat.Saya akan katakan kepada Baginda : “Wahai Rasulullah saw ini khadam kecilmu Unais”

Tatkala Anas jatuh sakit dan hampir meninggal dunia, beliau berkata kepada kaum keluarganya: “Ajarkan saya Lailahaillallah” Beliau terus melafazkannya sehingga meninggal dunia.Beliau mewasiatkan agar tongkat pendek kepunyaan Rasulullah saw dikebumikan bersama-sama jenazahnya.Maka tongkat tersebut diletakkan di dalam bajunya.

Tahniah untuk Anas bin Malik yang dilimpahi oleh Allah dengan kebaikan.Beliau hidup di bawah jagaan Rasulullah genap 10 tahun.Beliau merupakan perawi ketiga terbanyak meriwayatkan hadith Rasulullah saw selepas Abu Hurairah dan Abdullah bin Umar…

Mudah-mudahan Allah mengganjari beliau juga ibunya , Ghumaisho’ dengan sebaik-baik ganjaran.

1 Comment

  1. Salamun alaik.

    Post yang cukup menarik. Pohon kebenaran dikongsikan sebagai Guest Post di blog saya. Jazakallahu khair.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: