Ada apa dengan 10 Muharram?

 

 

Tanggal 6 Disember ini sekali lagi umat Islam akan menyambut hari Asyura. Namun ada apa dengan hari Asyura ini. Sejauh mana kepentingan hari ini pada kehidupan individu Muslim dan bagaimana hari ini mampu memberi refleksi terhadap kehidupan mereka. Bagi sesetengah orang, apabila disebut hari Asyura sahaja akan terbayanglah bubur Asyura. Namun sedar tak sedar tarikh 10 Muharam ini sebenarnya mengungkap 1000 satu makna yang tersendiri.

 

 

Sesungguhnya hari Asyura merupakan hari yang sangat mulia dan sangat bersejarah bagi umat Islam. Berada dalam salah satu empat bulan yang haram menjadikannya sangat istimewa. Hal ini kerana Allah telah mengangkat darjat hari ini dengan berlakunya pelbagai peristiwa penting dan besar.

 

 

Sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, benarkah Allah telah melebihkan hari Asyura dengan menjadikan bukit dan lain-lain lagi?” Jawab Rasulullah, “Benar, Allah telah menjadikan langit dan bumi pada hari Asyura, menjadikan bukit-bukit pada hari Asyura, menjadikan laut pada hari Asyura, menjadikan Luh Mahfuz dan Qalam pada hari Asyura juga menjadikan Adam dan Hawa pada hari Asyura, menjadikan syurga dan neraka serta memasukkan Adam ke syurga pada hari Asyura, Allah menyelamatkannya dari api pada hari Asyura dan menyembuhkan penyakit nabi Ayub. Pada hari Asyura juga Allah menerima taubat nabi Adam dan diampunkan dosa nabi Daud, juga kembalinya kerajaan Nabi Sulaiman pada hari Asyura.”

 

 

Bahkan hari Asyura juga ialah hari yang amat bermakna bagi kaum Yahudi dan dikenali sebagai Yom Kippur. Pada hari ini orang Yahudi akan berpuasa selama 25 jam selain mengharapkan keampunan tuhan agar dosa mereka diampunkan.

Ibn Abbas RA menceritakan bahawa Nabi SAW tiba di Madinah dan melihat orang Yahudi berpuasa pada hari 10 Muharam. Nabi SAW bertanya apa yang yang mereka lakukan? Orang Yahudi menjawab bahawa hari ini (10 Muharam) ialah hari soleh (baik). Pada hari ini Allah SWT menyelamatkan Musa AS dan Bani Israel daripada musuh mereka. Maka nabi Musa berpuasa pada hari tersebut. Nabi s.a.w. bersabda bahawa baginda lebih berhak dengan Musa daripada kamu (orang Yahudi). Nabi SAW berpuasa pada hari itu dan mengarahkan sahabatnya berpuasa. (Riwayat Bukhari)

 

Ibrah bagi mereka yang ingin berfikir

 

Setelah mengetahui hari Asyura yang kaya dengan sejarah ini, persoalannya ialah bagaimana kita dapat mengambil pengajaran daripada segala peristiwa yang berlaku untuk meningkatkan lagi iman kita. Peristiwa-peristiwa besar seperti Allah menyelamatkan Nabi Musa AS dan Bani Israel daripada kekejaman Fir’aun dan tenteranya, Nabi Nuh AS dan pengikutnya diselamatkan Allah dari banjir yang besar, Nabi Ibrahim diselamatkan dari api raja Namrud dan Nabi Isa diangkat ke langit perlulah disambut dengan penuh iman yang akhirnya membuatkan kita untuk lebih bersyukur dan meletakkan segala pergantungan hidup kita hanya kepada Sang Pencipta.

 

 

Walau bagaimanapun, konsep syukur yang kita perlu faham di sini bukanlah hanya tertakluk kepada sujud syukur dan ucapan alhamdulillah semata-mata, tetapi rasa syukur yang sebenar lahir dari hati yang ikhlas seharusnya dizahirkan dalam bentuk amalan seperti menggunakan nikmat yang ada dengan sebaiknya. Sebagai contoh memberi nasihat, mencegah kemungkaran, menunaikan hak dan melaksanakan ibadah-ibadah sunat yang lain, berpuasa misalnya.

Sejarah pensyariatan puasa pada hari Asyura bermula ketika junjungan kita Nabi Muhammad berhijrah ke Madinah dan mendapati kaum Yahudi berpuasa pada hari tersebut. Pada ketika itu, puasa pada hari Asyura merupakan kelaziman bagi masyarakat Quraisy dan Nabi dalam masa yang sama telah pun mula berpuasa sejak di Makkah lagi. Oleh kerana merasakan masyarakat Islam lebih dekat dengan Nabi Musa AS dan kerana ingin menunjukkan ketaatan dan kesyukuran baginda, maka Nabi mengesahkan dan mensyariatkan puasa sehingga menjadi suatu kewajipan ketika itu.

 

 

Daripada Aisyah RA katanya,

“Orang Quraisy zaman jahilliyah berpuasa pada hari Asyura dan Rasulullah juga berpuasa pada hari Asyura. Apabila baginda datang ke Madinah, baginda berpuasa pada hari itu dan meyuruh orang ramai berpuasa. Apabila difardhukan kewajipan puasa Ramadan, ditinggalkan puasa pada hari Asyura lalu baginda bersabda: “Siapa yang mahu, dia boleh berpuasa (sunat Hari Asyura) dan siapa yang tidak mahu berpuasa, dia boleh meninggalkannya.”

(Riwayat Bukhari)

 

 

Ibn Hajar Al-Asqalani, dalam pernyataannya terhadap Sahih Bukhari mengatakan syariat puasa telah disyariatkan di bulan Ramadhan setahun kemudian. Kini, masyarakat Islam melakukan puasa pada 10 Muharram sebagai amalan sunat dan bukan kewajipan. Usaha Nabi yang bersungguh-sungguh untuk memuliakan hari ini menunjukkan hari ini benar-benar bermakna. Maka, amatlah rugi sekiranya kita sebagai golongan yang memahami tidak memanfaatkan sepenuhnya hari ini untuk beribadah dan mengejar redha Allah. Dalam masa yang sama, hal ini tidak bermakna kita hanya melebihkan amalan kita pada sesetengah hari dan mengurangkannya pada hari yang lain, tetapi dari sudut positifnya kita dapat menjadikan hari ini sebagai pemangkin untuk kita meningkatkan pengabdian kita kepada Allah.

 

 

Tambahan pula, dengan menghayati kisah di sebalik hari Asyura seperti hari pertama diciptakan langit dan bumi, sekurang-kurangnya dapat menyentuh hati kita untuk lebih menghayati ruh ketuhanan dan kekuasaan Allah.

Di samping itu, kita juga dapat mengambil pedoman untuk tidak mudah-mudah meniru perbuatan agama lain sepertimana mafhum sebuah hadis nabi mengatakan sekiranya kita meniru perlakuan sesuatu kaum, maka kita adalah sebahagian daripada mereka. Nabi telah menunjukkan contoh dengan berazam untuk berpuasa pada 9 dan 10 Muharram pada tahun seterusnya setelah mengetahui bahawa orang yahudi turut mengamalkan puasa tersebut.

 

 

Pada hari Asyura tersebut, kita juga perlulah mengenang suatu peristiwa yang amat menyayatkan hati iaitu peristiwa syahidnya Husain bin Ali, cucu junjungan besar kita Nabi Muhammad. Umat Islam perlulah saling meningkatkan iman masing-masing dan menguatkan ikatan persaudaraan agar kita menjadi lebih kuat untuk menghadapi situasi yang semakin mencabar dewasa ini dan tidak mudah dikalahkan oleh musuh-musuh Islam.

 

 

Oleh: Ahmad Saiful Hafizi Johari,

Tahun 2, Perubatan,

Universiti Kaherah

Sumber: Laman Web ISMA Mesir

  • Posted in: 1

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: