Sejauh Manakah Anda Mempersiapkan Diri

Seorang penulis di dalam majalah Mujtama’ Kuwait memuji empat tokoh dakwah dan peranan yang dimainkan oleh mereka. Beliau menyebut peranan Hasan al-Banna dalam mengilhamkan kebangkitan dan kesedaran umum Islam. Beliau memuji juga Sayyid Qutb yang telah menjelaskan dan menentukan manhaj tarbiah harakiah gerakan Islam. Pujian seterusnya diberikan kepada Hasan Huhaibi yang telah menunjukkan qudwah ketahanan pendirian menghadapi mehnah di zaman rejim Jamal Abdul Nasir. Seterusnya beliau menyentuh tentang peranan Abdul Qadir Audah yang telah menjelaskan method perundangan Islam.

Seterusnya beliau menulis: “Lihat, adakah harakah Islam ini mahu kembali kepada simple dan bentuk umum hanya kerana untuk mengelak dari kesukaran dan aman dan sebarang kebimbangan? Atau harakah ini akan melangkah maju lebih jauh ke depan memperincikan dengan detail tetapi terpaksa menanggung risiko akibat kemaraan dan kemelataan ini?” (Majalah Mujtama’ Kuwait Bil 115)

Dakwah Tanpa Fasa

Sebahagian pendakwah berasa cukup dengan apa yang dilakukannya sekarang. Dalam pemikiran mereka, mereka akan berterusan dengan bentuk dan medan yang mereka terlibat sekarang untuk 30 atau 40 tahun akan datang. Mereka mempertajamkan kemahiran tertentu dan terus mempertajamkannya untuk tempoh yang lama tanpa ada rasa perlu mempelajari kemahiran yang baru. Kumpulan atau harakah mereka juga dikekalkan pada tahap dan lingkungan amal tertentu untuk tempoh yang lama atas alasan masanya belum tiba untuk berpindah ke fasa (marhalah) seterusnya.

Banyak faktor yang memberi saham kepada fenomena seumpama ini. Sebahagiannya berpunca dari karektor pimpinan dan ahli harakah tersebut manakala sebahagiannya berpunca dari analisa mereka terhadap realiti kekuatan dalaman dan persekitaran luaran.

Dakwah Ini Simple?

Terdapat pendakwah yang mempunyai karektor simple dan melihat semua perkara dengan pandangan yang simple. Mereka beranggapan bahawa penyelesaian kepada krisis yang berlaku kepada umat sekarang boleh diselesaikan dengan bertambahnya orang-orang soleh yang faham, memiliki fikrah Islam dan bersemangat. Mukadimahnya betul tetapi langkah seterusnya agak kelam.

Para sahabat r.a. faham dari awal penggabungan diri di dalam Islam bahawa kesudahan dakwah adalah keruntuhan kerajaan dan sistem jahiliah serta bangunnya kerajaan dan sistem Islam. Setiap detik adalah peningkatan keupayaan dan kemampuan ke arah itu. Ada aspek strategi dalam dakwah Rasulullah s.a.w. Ianya amat ketara bagi yang memerhatikannya.

Rasulullah s.a.w. sendiri tidak memiliki karektor simple sebagaimana yang dibayangi oleh mereka. Rasulullah s.a.w. memilih sasaran dakwahnya, memilih tempat perkumpulannya, memindahkan dakwah ke fasa yang lebih atas, menyediakan para sahabat r.a. untuk fasa itu, memiliki kemampuan untuk berhujah dan berdiplomasi ketika perlu, memilih negara hijrahnya dan bersedia untuk menghadapi Yahudi sejak dari awal sebelum melangkahkan kaki meninggalkan Mekah.

Ada tasawur untuk mengunjurkan dakwah selangkah ke depan. Gambarannya jelas dan langkahnya juga boleh dicerita dan dilakarkan. Walau pun ada unsur tawakal dalam menyerahkan apa yang akan berlaku sesudah melangkah, tetapi unsur mengambil asbab musabbab dan mengambil perkiraan lojik akal dalam mengandaikan-andaikan hasilnya sama sekali tidak pernah dipinggirkan.

Karektor yang simple ini tidak mahu berfikir lebih dari rutin hariannya dan aktiviti-aktiviti tradisi yang sudah diamalkan sejak sekian lama. Mereka memerangkapkan diri mereka di situ menjadikan akhirnya mereka sendiri akan tertanya-tanya ‘ke mana dakwah ini akhirnya?’.

Bacaan Yang Salah Dari Jiwa Yang Lemah

Ada pepatah yang mengatakan: ‘orang biasa menunggu peluang tetapi orang hebat mencipta peluang’. Jika kita mahu mengubah realiti, besarkanlah jiwa dan minda sehingga menjadi orang hebat. Kerana jiwa dan minda yang besar sahaja yang mampu mencipta peluang-peluang untuk mengubah apa yang dihadapi oleh umat sekarang. Mereka tidak menunggu.

Jika tidak, berpusing dan ulanglah apa yang dilakukan sekarang. Teruskan kerana kita masih lagi belum kuat untuk menghadapi suasana luar yang mencabar. Inilah mentaliti sebahagian pendakwah. Dengan mentaliti ini mereka ‘beku’ di tahap tertentu dan berasa belum tiba masanya untuk muncul ke depan secara perlahan-lahan.

Persoalannya; bilakah kita akan bersedia? Benarkah tindakan ini hasil analisa yang tepat atau lebih kepada kerana kita sememangnya lemah dan tidak mampu melangkah ke depan?

Kekuatan akan terbina secara perlahan-lahan. Kemampuan juga akan meningkat hanya dengan masuk ke medan beserta bimbingan.

Amat memalukan apabila pendakwah yang ditarbiah dengan tarbiah yang hebat tidak mampu menyaingi kelantangan suara dan keberanian seorang aktivis biasa yang tidak pernah mendapat apa-apa habuan dari tarbiah harakiah. Sedangkan dia sebenarnya ditarbiah supaya suaranya didengari dan sentuhannya dirasai oleh masyarakat di luar.

Mereka meletakkan diri mereka terlalu bawah dan selesa dengan peranan-peranan di belakang tabir. Jika mereka pimpinan harakah, mereka tidak mengimani keperluan anggota-anggota harakahnya untuk mula sedikit demi sedikit terlibat di dalam medan yang lebih luas dan terbuka. Atau pun mereka takut anggota-anggota harakah mereka hilang dari kawalan kerana mereka masih ‘muda’.

Dengan itu pentarbiahan juga akan berputar pada mufradat (perbendaharaan kata) yang sama. Temuilah mereka dan harakah mereka 20 tahun akan datang; samada mereka terus kekal dengan cara mereka atau sebahagiannya sudah pun meninggalkannya. Masyarakat terus tidak mengenali mereka dan tidak merasai sentuhan mereka kerana mereka belum bersedia.

Bersedialah Untuk Maju dan Memajukan

Sentiasa mempelajari sesuatu yang baru, bersungguh-sungguh dalam usaha pewarisan kemahiran dakwah, berani untuk ke depan dan sentiasa mengambil peluang dari apa juga yang datang’ begitulah sikap kita sepatutnya.

Harakah dakwah akan maju dengan sikap itu. Masyarakat akan mula merasai sentuhan-sentuhan tangan pendakwah-pendakwah yang hebat. Perkumpulan orang-orang jahat akan merasai ancaman dan mereka mula mendapat isyarat yang jelas tentang kesudahan mereka.

Tanpa sikap ini, kita tidak akan bergerak ke mana-mana. Persiapkanlah diri untuk sentiasa ke depan.

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni, JKP ISMA

Blog Ustaz Muhammad Fauzi

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: