TANDA-TANDA IKHLAS

 

download

 Ikhlas mempunyai banyak tanda dan alamatnya yang banyak. Ia terserlah di dalam kehidupan orang yang ikhlas akhlaknya dan pandangannya kepada diri sendiri dan manusia. Di antara tanda dan alamat tersebut ialah :

 1.            Beliau takutkan kemasyhuran dan sanjungan yang boleh membawa fitnah kepada diri dan agamanya. Lebih-lebih lagi jika beliau seorang yang berkebolehan. Beliau meyakini bahawa Allah menerima sesuatu berdasarkan batin bukannya zahir, jika seseorang manusia itu memiliki kemasyhuran di seluruh pelusuk dunia sekalipun, sedangkan niatnya bercampur-baur, maka ia tidak memberi apa-apa makna.

Inilah yang menjadikan ramai di kalangan ulama’ salafussoleh takut kalau hati-hati mereka ditimpa fitnah kemasyhuran, kemegahan dan sanjungan. Mereka memberi amaran kepada murid-murid mereka tentang perkara tersebut. Ibrahim bin Adham berkata: “Orang yang kasihkan kemasyhuran tidak berlaku adil terhadap Allah.”

 

Salim bin Hanzalah berkata :

“Ketika kami berjalan mengiringi Ubai bin Kaab, Umar melihat kepada beliau lantas memukulnya dengan cemeti. Ubai berkata: ‘ Lihatlah wahai Amirul Mukminin, apakah yang telah kamu lakukan?’ Umar menjawab: ‘ Ini adalah kehinaan kepada pengikut dan fitnah kepada orang yang diikut.”

Inilah pandangan tajam Saidina Umar yang berharga terhadap apa yang berlaku. Walaupun pada mulanya pada zahir yang remeh, tetapi ia akan memberi kesan yang besar terhadap para pengikut dan ketua yang diikuti.

Al Hassan berkata :

“Pada suatu hari Ibnu Mas’ud keluar dari rumahnya dan beliau diikuti oleh segolongan manusia. Beliau berpaling kepada mereka lantas berkata: ‘Mengapa kamu semua mengikut aku? Demi Allah jika sekiranya kamu mengetahui apa yang berlaku di dalam rumahku, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu yang mengikutiku.”

Al-Hassan berkata :

“Sesungguhnya bunyi sepatu orang-orang yang mengelilingi seorang lelaki boleh menggoncangkan hati orang-orang yang bodoh.” Pada suatu hari Al Hassan keluar lalu beliau diikuti oleh segolongan manusia. Beliau berkata : “Adakah kamu mempunyai hajat? Jika tidak, apakah yang akan menimpa kepada hati mukmin?”

Ayyub As Sakhaitani keluar bermusafir, lalu beliau dikelilingi oleh manusia yang ramai. Beliau berkata :

“Kalau tidak kerana aku mengetahui bahawa Allah swt mengetahui dalam hatiku bahawa aku benci kepada perkara ini, nescaya aku takut kemurkaan Allah swt.”

Ibnu Mas’ud berkata :

“Jadilah kamu sumber ilmu, lampu petunjuk, penunggu setia rumah, pelita di malam hari, hati-hati yang sentiasa baru, berpakaian buruk, kamu dikenal di kalangan ahli langit dan tidak dikenali oleh ahli bumi.”

Al Fudhail bin ‘Iyadh berkata :

“Jika kamu boleh membuatkan kamu tidak dikenali, maka lakukanlah. Apa salahnya jika kamu tidak dikenali? Apa salahnya jika kamu tidak dipuji? Apa salahnya jika kamu dikeji oleh manusia tetapi dipuji di sisi Allah swt?”

Janganlah difahami dari athar-athar di atas bahawa ia menyeru kepada bersembunyi dan mengasingkan diri. Sesungguhnya athar-athar tersebut dari pemimpin-pemimpin para du’at yang soleh dan mempunyai peninggalan yang baik dalam arena da’wah kepada masyarakat.

Tetapi hendaklah difahami secara keseluruhannya bahawa ia adalah kesedaran terhadap bahaya syahwat diri yang tersembunyi dan berwaspada terhadap lubang dan jendela yang mana syaitan dapat menyusup masuk melalui ke dalam hati manusia.

Kemasyhuran pada zatnya bukanlah suatu yang tercela. Tidak ada di sana orang yang lebih masyhur dari para Nabi dan Khulaf Ar Rasyidin. Tetapi jika kemasyhuran itu wujud tanpa berusaha bersungguh-sungguh dan tamak untuk mendapatkannya, maka tidaklah menjadi kesalahan walupun ada keburukannya. Itulah yang disebut oleh Imam Al Ghazali :

Ia menjadi fitnah kepada orang-orang yang lemah, tidak kepada orang-orang yang kuat.”

2.            Orang yang ikhlas sentiasa menganggap dirinya cuai terhadap Allah swt, lalai dalam melaksanakan ibadat, tidak dapat mengawal hati dan dimasuki oleh sifat megah dan taajub dengan diri sendiri. Bahkan beliau merasa takut kalau-kalau dosanya tidak diampunkan oleh Allah atu kebaikannya tidak diterima. Setengah para solehin menangis bersungguh-sungguh di dalam sakitnya. Lalu sebahagian daripada orang yang menziarahinya berkata : Mengapa kamu menangis? Sedangkan kamu telah berpuasa, bersembahyang malam, berjihad, bersedekah, menunaikan haji dan umrah, mengajar dan berzikir? Beliau menjawab : Manalah aku tahu sama ada  perkara itu termasuk di dalam timbangan amalanku dan diterima di sisi Tuhanku? Sedangkan Allah berfirman di dalam surah al-Maidah ayat 27 :

 

“Sesungguhnya Allah hanya menerima dari orang  yang bertaqwa.”

At Tirmizi meriwayatkan dalam sebuah hadis bahawa :

“Aisyah, isteri Nabi saw berkata: ‘Aku bertanya Rasulullah saw tentang ayat ini (al Mukminin : 60)  yang bermaksud :

 

“Dan orang-orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan, dengan hati yang takut.”

 

Aisyah berkata : ‘Adakah mereka itu orang yang meminum arak dan mencuri? Rasulullah menjawab : ‘Tidak, wahai anak as Siddiq, tetapi mereka ialah orang-orang yang berpuasa, bersembahyang dan bersedekah dalam keadaan mereka takut kalau-kalau amalan mereka tidak diterima. Merekalah orang-orang yang berlumba-lumba menuju kepada kebaikan.”

 

3.            Beliau lebih suka melakukan amalan kebaikan secara tersembunyi dari amalan yang dipenuhi dengan iklan dan irama paluan kemasyhuran. Di dalam jamaah beliau lebih suka menjadi seperti tunjang pokok. Walaupun tunjang tersembunyi di dalam perut bumi dan tidak dapat dilihat mata, namun ia adalah asas untuk pokok itu tegak dan hidup.

Dari Umar Ibnu al Khattab ra bahawa beliau pergi ke masjid Rasulullah pada suatu hari. Beliau mendapati Mu’az bin Jabal duduk di sisi kubur Rasulullah saw dalam keadaan menangis. Umar bertanya : “Apakah yang membuatkan kamu menangis?” Mu’az menjawab : “Aku menangis kerana telah mendengar Rasulullah saw bersabda : ‘Sesungguhnya riya’ yang sedikit adalah syirik. Sesiapa yang memusuhi wali Allah, sesungguhnya dia telah berperang dengan Allah. Allah mengasihi orang-orang yang baik dan bertaqwa yang tidak dikenali. Apabila mereka hilang, orang tidak mencarinya dan apabila mereka ada, mereka, mereka tidak dipanggil dan dikenali. Hati-hati adalah lampu petunjuk, mereka keluar dari setiap tanah berdebu yang gelap.”

 

 4.            Sama sahaja di sisi beliau sebagai pemimpin atau tentera, selagi mana kedua-duanya adalah berkhidmat dengan da’wahnya. Hatinya tidak dapat dikuasai oleh perasaan cinta untuk muncul ke depan, berada di barisan hadapan, mahu menjadi pemimpin dan menjawat bahagian kepemimpinan. Bahkan mungkin beliau lebih mengutamakan untuk menjadi tentera biasa kerana takut berlaku cuai dalam melaksanakan kewajipan dan tugas kepimpinan. Dalam setiap perkara, beliau tidak berusaha untuk menjadi ketua dan tidak memintanya. Tetapi jika beliau dibebankan dengan tugas tersebut, beliau memikulnya dan memohon pertolongan dari Allah swt dalam melaksanakannya. Rasulullah saw menyifatkan golongan ini seraya bersabda yang bermaksud :

“Beruntunglah seorang hamba yang memegang tali kekang kudanya di jalan Allah dalam keadaan rambutnya kusut dan kakinya berdebu. Sekiranya beliau brtugas sebagai pengawal, beliau menjadi pengawal. Dan jika sekiranya beliau berada di belakang, beliau berada di belakang.”

Semoga Allah meredhai Khalid bin al Walid yang dilucutkan dari jawatan panglima tentera sedangkan ketika itu beliau adalah panglima tentera yang sentiasa menang dalam peperangan. Beliau lantas bekerja di bawah pimpinan Abu Ubaidah tanpa merasa gelisah ataupun menyesal.

5.            Tidak menghiraukan keredhaan manusia jika disebaliknya adalah kemurkaan Allah swt. Sesungguhnya manusia berbeza-beza dari sudut tabiat, kecenderungan, cara berfikir dan matlamat mereka. Jadi percubaan untuk mendapat keredhaan mereka adalah satu matlamat yang tidak akan tercapai. Orang yang ikhlas tidak menyusahkan dirinya dengan perkara ini. Slogannya bersama Allah swt ialah :

 

               Semoga kamu merasai kemanisan,

               sedangkan kehidupan itu penuh kepahitan,

               Semoga kamu menjadi redha,

               sedangkan manusia marah,

               Semoga ada orang memakmurkan,

               di antara aku dan kamu,

               sedangkan di antara aku dan dunia ada kehancuran,

               Jika benarlah kamu mempunyai perasaan kasih,

               maka semuanya menjadi mudah,

               dan setiap sesuatu yang berada di atas tanah

               adalah tanah…

 6.            Hendaklah cinta dan benci, memberi dan menahan, redha dan marah, semuanya kerana Allah  swt dan agamanya, bukan kerana diri dan manfaatnya. Beliau tidak menjadi orang seperti orag-orang yang mengejar manfaat yng terdiri dari golongan munafiq yang dicela Allah di dalam kitabNya ( surah at Taubah : 58 ) yang bermaksud :

“Dan di antara mereka ada yang mencelamu tentng pembahagian zakat. Jika mereka diberi sebahagian daripadanya mereka bersenang hati, dan jika mereka tidak diberi sebahagian daripadaya dengan serta merta mereka menjadi marah.”

Kadang-kadang saudara dapat melihat segelintir manusia yang bekerja di dalam medan da’wah, apabila ditegur oleh salah seorang saudaranya dengan perkataan yang menyakitkan hatinya, atau perasaannya dilukakan dengan perbuatan yang menyinggung jiwanya serta orang yang rapat dengannya atau kaum kerabatnya, beliau cepat marah dan melenting lalu meninggalkan amal dan harakah serta mengasingkan  diri dari medan jihad.

Ikhlas kepada matlamat menuntutnya agar terus berada dalam da’wahnya, tetap kekal arah tujuannya walaupun dituduh salah, cuai dan melampau oleh orang lain. Ini adalah kerana beliau beramal kerana Allah swt, bukan kerana dirinya, keluarga atau orang tertentu di kalangan manusia.

Da’wah Allah bukan dimonopoli atau menjadi milik seseorang. Ia adalah da’wah kepada semua manusia. Mukmin tidak boleh meninggalkan da’wah kerana pendirian dan perbuatan-perbuatan tadi.

7.            Beliau tidak bersifat malas, lembap atau ketinggalan kerana perjalanan yang jauh, buah yang lambat dapat dipetik, lambat mendapat kejayaan dan penat bekerja dalam menghadapi manusia yang bermacam ragam. Beliau tidak bekerja untuk berjaya atau mencapai kemenangan semata-mata, bahkan semata-mata kerana mencari keredhaan Allah  swt dan mematuhi perintahNya.

Sesungguhnya Allah tidak bertanya manusia pada hari kiamat: “Mengapa kamu tidak mencapai kemenangan?” tetapi Dia akan bertanya: “ Mengapa kamu tidak berjuang?” Dia tidak akan bertanya mengapa mereka tidak berjaya, tetapi bertanya kenapa mereka tidak bekerja.

8.            Gembira dengan setiap kemunculan orang yang mempunyai kelayakan dalam barisan orang-orang yang bekerja untuk membawa panji-panji, memberi saham kepada amal dan memberi peluang kepada setiap yang berkebolehan menggantikan tempatnya tanpa cuba menyekat dan menghalangnya, atau menghina dan marah kepadanya. Bahkan kita melihat bahawa orang yang ikhlas itu, apabila melihat ada orang yang lebih baik darinya dalam memikul tugas, beliau mengundur diri dalam keadaan redha. Beliau akan mengutamakan orang itu dari dirinya dalam keadaan taat dan bahagia kerana beliau mengundur setapak ke belakang.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: