Wanita dan Keluarga

 IBU BAPA SEBAGAI PENDIDIK  NO. 1

 

Ibu bapa merupakan orang yang paling penting dalam didikan anak-anak mereka. Selain guru di sekolah, ibu bapa memainkan peranan sebagai guru yang dapat memberikan pendidikan kepada anak-anak di rumah secara tidak langsung. Terdapat beberapa perkara penting yang perlu diambil berat oleh seorang ibu bapa untuk mendidik anak-anak mereka agar menjadi anak-anak yang soleh atau solehah dalam pembinaan peribadi muslim.

Ibu bapa perlu mendidik anak-anak mengenal Rabbnya

Salah satu tugas utama ibu bapa adalah mendidik anaknya untuk mengenal Rabb iaitu Allah S.W.T.. Islam menuntut si bapa memperdengarkan azan atau iqamah ke telinga si anak yang baru dilahirkan. Dari saat itulah, bermulanya tugas ibu dan bapa mendidik anak-anak mereka mengenali Allah S.W.T.. Setiap ciptaaan Allah di muka bumi ini sama ada langit, bumi, bintang, matahari dan bulan perlu dijelaskan oleh ibu dan bapa kepada anak-anak mereka. Dengan kata lain, ibu dan bapa perlu memastikan tumbesaran anak-anak mereka perlu sejajar dengan pengenalan kepada PenciptaNya.

Menjadi fitrah semulajadi seorang bayi yang akan terbangun dari tidurnya menjelang subuh hari. Betapa Allah telah menciptakan hambaNya untuk melaksanakan salah satu perintahNya pada waktu subuh. Selain itu, seorang bayi tidak akan selesa dengan kekotoran yang ada pada dirinya. Inilah hakikat kebenaranNya bahawa Allah menjadikan fitrah seorang manusia agar mencintai kebersihan. Namun demikian, masih ramai di antara kita yang tidak menyedari hakikat ini dalam pendidikan terhadap anak-anak.

 

Ibu bapa perlu menjadi seorang pendengar yang baik

Setiap anak mahukan ibu bapa mereka menjadi pendengar yang baik kepada mereka. Seperti contoh berikut, di mana seorang ibu yang sedang sibuk mencuci pinggan tiba-tiba didatangi anaknya Marina berumur lima tahun dan memanggilnya,

“Ibu!”. Si ibu menjawab dengan lembut sambil membuat kerjanya.

“Ya, Marina”. Sepuluh minit berlalu dengan senyap.

“Ya, Marina”, jawab ibunya dengan lembut sambil membuat kerja. Sepuluh saat berlalu dengan senyap.

Kedengaran lagi Marina memanggil ibunya “Ibu!’’.

Kali ini ibunya menjawab dengan nada yang sedikit keras, “Ya?”. Tetap tiada juga ucapan yang terkeluar daripada mulut Marina.

“Ibu!”, jerit Marina

“Apa yang Marina mahu ?”, balas ibunya dengan nada yang lebih tinggi menunjukkan kesabarannya diuji.

Marina yang masih lagi tersenyum memandang ibunya menjawab dengan lembut “Saya nampak kupu-kupu dan burung di taman tadi”.

Jauh di sudut hati Puan Normah, perasaan bersalah terhadap anak kesayangannya itu menyelubingi dirinya kerana menjawab panggilan Marina dengan keras tadi. Padahal Marina cuma ingin memberitahu kepadanya tentang kupu-kupu dan burung yang dilihatnya di taman.

Sebenarnya, cara yang terbaik bagi seorang ibu menangani situasi sebegitu adalah dengan menyahut panggilan si anak dengan penuh kasih saying dan bersedia mendengar apa yang ingin diceritakannya.

Pada keesokan harinya Marina berlari mendapatkan ibunya dan memanggilnya “Ibu!”.

“Ya, ibu dengar”, kata Puan Normah.

“Tetapi ibu tidak memandang saya”, jawab Marina. Puan Normah memandang Marina dan tersenyum kepada anaknya.

“Saya nampak layang-layang tadi”, kata Marina dengan gembira dan berlalu dari situ dengan senyum.

Apabila kita memandang mata seseorang yang lain ketika bercakap dengannya, secara tidak langsung kita memberitahunya bahawa kita mendengar dan menumpukan perhatian terhadap apa yang ingin dikatakannya. Begitulah juga halnya dengan Puan Normah dan anaknya. Seorang anak mahu ibu atau ayahnya memberi tumpuan terhadap apa yang ingin diperkatakannya. Oleh yang demikian, kita seharusnya mempunyai kemahiran sebegini untuk menjadi seorang pendengar yang baik kepada anak-anak kita.

Ibu bapa perlu menjadi contoh yang baik

Ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting untuk menjadi contoh kepada anak-anak yang sedang membesar terutamanya dalam pendidikan terhadap solat dan pemakaian yang menutup aurat. Anak-anak akan memerhatikan apa yang di lakukan oleh ibu bapa. Sekiranya ibu bapa sentiasa menjaga waktu solat mereka dan sentiasa menutup aurat ketika keluar dari rumah, maka sudah tentu anak-anak akan mudah mengikuti apa yang di lakukan oleh ibu bapanya.

Berkomunikasi dengan bahasa yang sesuai dan lemah lembut

Setiap tutur kata yang dilafazkan oleh ibu bapa akan menjadi ikutan kepada anak-anak. Baik tutur kata ibu bapa, maka baiklah tutur kata si anak itu. Unit bahasa itu mula terbentuk di dalam otak pada peringkat awal tumbesaran kanak-kanak lagi. Oleh itu, ibu bapa perlu bercakap dengan sebutan yang baik dan nada yang lemah lembut. Selain itu, penggunaan bahasa yang betul dan tepat di samping perkataan yang sesuai dengan keadaan dan situasi juga perlu dititikberatkan bagi memudahkan pembelajaran komunikasi anak-anak di rumah.

Pembentukan peribadi kanak-kanak melalui perwatakan ibu bapa

Ibu bapa adalah orang yang terdekat dengan anak-anak. Oleh itu, anak-anak mudah terpengaruh dengan apa sahaja yang dilihat atau dibuat oleh ibu dan bapa mereka. Pembentukan peribadi kanak-kanak juga tidak terkecuali daripada dipengaruhi oleh perwatakan ibu bapa. Perwatakan yang baik dapat dicontohi daripada Rasulullah S.A.W. dan juga para sahabat. Rasullah telah menggariskan matlamat utama perutusan Baginda ke muka bumi ini dalam hadisnya yang berbunyi “Hanyasanya saya diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”.

Sebagai contoh, keperibadian seorang sahabat Nabi, Usamah yang menjadi anak angkat Rasullah ketika beliau masih kecil sangat dikagumi ramai. Usamah hidup dalam keluarga Rasulullah yang penuh dengan kasih sayang. Walaupun sibuk dengan tugas-tugas harian, Rasulullah sentiasa meluangkan masanya untuk bermain dengan cucu-cucunya, Hassan dan Hussien. Kasih dan sayang Rasulullah yang dicurahkan kepada cucu-cucunya itu menyamai kasih dan sayangnya kepada Usamah.

Perwatakan Usamah sangat terserlah dengan peribadi yang mulia apabila beliau telah meningkat dewasa. Beliau menjadi seorang yang berani, cerdik dan bijaksana serta tahu menjaga kehormatan dirinya. Ketika beliau berumur 20 tahun, Rasulullah telah melantik Usamah sebagai panglima perang untuk memimpin bala tentera umat Islam tetapi pemergiannya untuk berjihad di jalan Allah tertangguh kerana Rasulullah telah wafat ketika itu. Inilah kesan daripada didikan Rasulullah terhadap Usamah yang bukan daripada keturunan baginda sendiri, namun kasih sayang baginda sebagai seorang bapa angkat tidak pernah terabai.

Ternyata, keperibadian seseorang itu akan terbentuk melalui didikan ibu bapa mereka di rumah. Jika baik perangai ibu dan ayahnya di rumah, maka insyaAllah baiklah perwatakan anak-anaknya. Jika tidak, perkara sebaliknya akan berlaku. Dalam mendidik anak-anak, perkara-perkara seperti mengajak anak-anak beramal, mengajak anak solat pada awal waktu, mengajak anak-anak solat di masjid, mengajak anak-anak berdakwah, mengajak anak-anak mengikut sunnah Nabi dan akhlak baginda S.A.W., dan mengajak anak-anak untuk bersyukur ke atas segala pemberian Illahi perlu dibiasakan dalam kehidupan mereka. Anak-anak diibaratkan seperti sehelai kain putih. Ibu bapalah yang bertanggungjawab untuk mencorak anak-anak ini menjadi seorang Islam, Majusi atau Nasrani.

 

Allahua’lam.

 

Sumber: ISMAWEB.net

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: