Ummu Asma' Blog

Assalamualaikum wrm wbt & Ahlan wa Sahlan

Kisah Wanita Soleh Pencetak Generasi Al-Quran

 

 

“Wahai ibuku, jika Amirul Mu’minin tidak nampak, Tuhan Amirul Mu’minin nampak!” Cukup yakin wanita hebat itu menjawab. Manakan tidak, ibunya mencadangkan supaya susu lembu segar yang akan dijual keesokan harinya ditambah dengan air secara sembunyi-sembunyi supaya menjadi banyak. Amirul Mu’minin ketika itu, Khalifah Umar Al-Khattab yang sedang meronda terpegun mendengar pendirian wanita tersebut. Pendirian yang jelas menampakkan tingginya Ihsan dalam jiwa. Ternyata bukan manusia yang menjadi sebab untuk wanita hebat itu merasa segan dan gerun saat menapak pinggir dosa tetapi Allah Yang Maha Melihat lagi Maha Mengetahui yang diyakini sentiasa mengadili.

Kita biasa mendengar kisah ketelusan seorang wanita pada zaman Khalifah Umar R.A yang amat takutkan Allah melebihi takutnya pada manusia yang disegani. Namun kali ini, kisah ini akan ditelusuri lagi untuk kita sama-sama melihat bahawa betapa seorang individu yang hebat mampu membentuk insan-insan yang hebat. Siapa yang tahu bahawa keikhlasan diri seorang individu dalam mencintai Allah akhirnya menjadi akar umbi kisah penceritaan seorang pemuda hebat bergelar khalifah?

Berbalik kepada kisah gadis penjual susu tadi, beliau akhirnya dikahwini ‘Asim, putera Saidina Umar Al-Khattab. Dari susur galur keturunan pasangan yang mulia inilah lahirnya seorang pemuda soleh yang sehingga kini kisahnya tak putus diulang dengar iaitu Khalifah Umar Abdul Aziz. Umar Abdul Aziz merupakan cucu mereka, hasil perkahwinan puteri mereka bernama Laila dengan Gabenor Mesir sewaktu zaman Khilafah Umaiyah, Abdul Aziz.

Khalifah Umar Abdul Aziz mempunyai keperibadian tinggi, disukai ramai dan warak. Beliau amat berhati-hati dengan urusan harta terutamanya yang melibatkan harta rakyat. Dikatakan dalam sejarah bahawa, beliau begitu berhati-hati sehinggakan menyediakan dua lilin di rumahnya, satu untuk kegunaan urusan negara dan satu lagi untuk kegunaan keluarga sendiri.

Termakbullah doa Saidina Umar Al-Khattab seperti yang diriwayatkan oleh At-Tirmizi: “Dari anakku (zuriatku) akan lahir seorang lelaki yang menyerupainya dari segi keberaniannya dan akan memenuhkan dunia dengan keadilan” Kisah kehebatan keturunan mereka tidak terhenti di situ. Khalifah Umar Abdul Aziz dikurniakan cahaya mata bernama Abdul Malik. Abdul Malik pula terkenal dengan kisahnya yang berani menegur bapanya yang pulang ke rumah untuk beristirehat sambil menanti waktu Zuhur, setelah terlantiknya beliau menjadi khalifah selepas kembalinya khalifah sebelumnya Khalifah Sulaiman ke rahmatullah. “Wahai Amirul Mu’minin, siapa yang menjamin Amirul Mu’minin hidup sehingga waktu Zuhur? Sedangkan sekarang adalah waktu Amirul Mu’minin keluar untuk mengembalikan hak-hak orang yang telah dizalimi”,ujar Abdul Malik pada ayahandanya. Maka tersentaklah khalifah mendengar kata-kata anaknya itu lalu bangunlah beliau dari katilnya. Dipanggil anaknya lalu dicium kedua mata anaknya lalu mengucapkan: “Alhamdulillah kerana telah dikeluarkan dariku orang yang akan menolongku atas agamaku”.

 

 

Semestinya kisah Abdul Malik yang menegur ayahnya ini membawa pelbagai pengajaran kepada para ibu bapa yang mengimpikan anak-anak soleh dan cemerlang. Bayangkan betapa tertonjolnya kehebatan Abdul Malik dalam agamanya biarpun ketika itu beliau baru berumur 15 tahun sehinggakan mampu mempertutur perihal jaminan sebuah kehidupan dan tuntutan amanah Allah kepada seorang bapa yang saat itu baru bergelar Amirul Mu’minin.

Subhanallah.. Betapa indahnya kisah kehidupan mereka terdahulu. Wanginya menusuk jiwa umat hingga ke hari ini. Gadis yang asalnya dikenali sebagai ‘gadis penjual susu’ akhirnya dikenang dan diambil pengajaran dari tindakannya yang ikhlas juga akhirnya mampu berbangga mempunyai cucu yang hebat, khalifah Umar Abdul Aziz dan cicit yang soleh, Abdul Malik. Siapa yang menyangka dengan rasa takut pada kemurkaan Allah yang mengalir dalam tiap urat nadi akhirnya melahirkan generasi yang mantap dan hebat?

Siapa sangka bahawa akhlak yang menjadi rujukan seluruh umat bermula dari seorang individu yang berusaha gigih mencapai keelokan jiwanya di hadapan Allah? Terbuktilah bahawa pentingnya usaha pembentukan individu muslim dalam pembentukan sebuah masyarakat yang beragendakan Islam. Individu-individu ini akan membentuk baitul muslim (rumahtangga muslim) yang akan melahirkan anak-anak yang perlu dicorak pembentukan peribadinya. Kalau dicorakkan anak-anak dengan corak-corak yang membangkitkan jiwa Islam, maka hebatlah mereka dengan jiwa dan semangat sahabat generasi pertama di zaman Rasulullah. Maka kalau dicorakkan dengan corak sebaliknya, lahirlah umat yang kecil semangatnya, lemah jiwanya.

Sepertimana bertungkus-lumusnya kita mencari jalan untuk mengindahkan akhlak dan peribadi diri sendiri begitu jugalah seharusnya kita bertungkus-lumus dalam menjayakan projek mencorak keluarga dan anak-anak dengan corak-corak Islam. Mengambil pengajaran dari kisah wanita penjual susu, semoga setiap jiwa yang membaca artikel ini akan terus bersemangat berusaha mencari jalan membentuk peribadi diri dan keluarga supaya akhirnya kita semua berjaya melahirkan generasi mantap yang jelas dengan agenda kehidupannya.

 

Rabbuna Yusahhil!

 

Hasil nukilan:

Siti Balqis Binti Syed Mohamad Noor

Eksekutif Penerangan Media Wanita ISMA

http://wanitaisma.net

 

Leave a comment